Sunday, May 4, 2008

CINTA ABADI



Raja bin Umar An-Nakha’I bercerita: “Dulu di kota Kufah tinggal pemuda tampan yang zuhud. Satu hari pemuda itu singgah di kalangan kaum An-Nakha’ dan bertemu gadis cantik.


Sejak melihat gadis itu, dia pun jatuh cinta. Demikian juga dengan gadis ini. Pemuda itu kemudian meminangnya, tetapi hampa apabila gadis itu sudah bertunang.


Pasangan kekasih itu bersedih. Si gadis kemudian mengirim utusan untuk menghantar surat kepada pemuda itu yang berbunyi:


“Aku tahu betapa engkau sangat mencintaiku dan aku juga amat mencintaimu. Seandainya engkau berkenan, aku akan datang ke rumahmu atau engkau datang ke rumahku.”


Selepas membaca isi surat itu, pemuda itu pun berkata: “Dua tawaran itu tak ada satu pun yang aku pilih. Sesungguhnya aku takut akan seksaan kerana derhaka kepada Tuhanku. Aku juga takut akan neraka yang api dan jilatannya tidak pernah surut dan padam”


Utusan gadis itu menyampaikan kata-kata pemuda berkenaan. Gadis itu pun berkata, “Aku belum pernah menemui seorang yang zuhud dan takut kepada Allah seperti dia. Demi Allah, tidak seorang pun yang layak mendapatkan gelaran kemuliaan kecuali dia, sedangkan kebanyakan orang adalah munafik.”


Selepas berkata begitu, gadis itu pun melupakan urusan duniawi. Dia hanya memakai baju tenunan murah dan sejak itu tekun beribadat, walaupun hatinya merana.


Kerinduan membelenggu hidupnya sehingga meninggal dunia. Pemuda itu sering menziarah makamnya. Pada suatu hari dia bermimpi melihat kekasihnya dalam keadaan bahagia. Pemuda itu pun bertanya, “Bagaimana keadaanmu dan apa yang kau dapatkan selepas berpisah dengannya?”


Gadis itu menjawab: “Kasih, cinta yang terindah adalah mencintaimu, sebuah cinta yang membawa kepada kebajikan. Cinta yang indah hingga angin syurga berasa malu, burung syurga menjauh dan malaikat menutup pintu.” Mendengar kata kekasihnya, pemuda ini bertanya kepadanya: “Di mana engkau berada?” Gadis itu kemudian terus menjawab dalam keadaan bersyair: “Aku berada dalam syurga yang dijaga oleh malaikat dan akan menunggu ketibaanmu, wahai kekasih.”


Kata pemuda itu: “Di sana aku mohon supaya kau mengingatiku dan aku pun tak dapat melupakanmu.”


“Dan demi Allah, aku takkan melupakanmu. Aku memohon kepada Tuhanku juga Tuhanmu, sehingga Allah berkenan memberi pertolongan kepadaku,” jawab gadis itu.


Pemuda itu berkata lagi: “Bila aku dapat melihatmu kembali?” Tak lama lagi engkau akan datang menyusulku,” jawab kekasihnya.


Tujuh hari selepas bermimpi, pemuda itu meninggal dunia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan kasih sayangNya kepada mereka berdua dan mempertemukan mereka kembali di syurga.

0 »comment«:

 

Design By:
SkinCorner